Wednesday, December 17, 2008

9. Sifat 20

Di sini tidak di terangkan maksud sifat 20 itu dengan cara yang mendalam, cuma di terangkan saja bab-bab dari ilmu ini dengan cara yang kasar sahaja.

Sifat 20 itu boleh dipecahkan kepada kepada empat bahagian kerana hendak mengenal yang mana satu yang qadim dan yang baharu, ertinya hendak mengenal yang mana satu Zat, Asmak dan sifat. Empat bahagian tersebut ialah :

1. Nafsiyah - Erti Nafsiyah ialah menunjukkan ujud diri Tuhan - Wujud

2.Salbiyah - Menunjukkan ujud sifat ke Agungan Tuhan yang membezakan keadaan makhluk dan Tuhannya . Sifat Salbiyah itu menunjukkan bahawa Dia adalah berbeza dengan makhluk ciptaanNya juga sebagai sifat menafikan perkara yang tidak layak bagi diri Tuhan. Sifat yang menunjukkan ke AgunganNya ada lima sifat iaitu Qidam, Baqa', Mukhalafatuhu Lilhawadis, Qiyamuhu Binafsih dan Wahdaniyah. sifat Salbiyah ujud beserta wujud Zat

3. Ma'ani - Ma'ani menunjukkan makhlukNya iaitu
Qudrat, idarat, ilmu, hayat, sama, bashar, kalam

4. Ma'anawiyah - Menunjukkan ujud nama Tuhan yan baik (Asmaul Husna)
Sifat Ma'anawiyah ini menunjukkan sifat ke Besaran Tuhan :
Hayaan, `Aaliman, Qaadiran, Sami`an, Bashiran, Muridan, Kaunuhu Mutakalliman

Dan Pecahan sifat dibahagi kepada dua iaitu Istaghna dan Iftiqar

Istaghna
Istaghna itu ialah sifat kaya Allah s.w.t yang mengandungi 11 sifat dan terbahagi pula kepada dua bahagian besar, satu di namakan sifat Jalal, dan satu dinamakan Jamal :

1. Sifat Jalal

sifat jalal ini mengandungi lima sifat iaitu

a. Wujud - bermaksud ialah adanya Zat Tuhan perlu bersebab jadinya, tiada berupa, tiada berbandingan, tidak bertempat, dan tidak bermasa.

"Tidakkah sudah datang suatu berita di suatu zaman yang telah berlalu mengikut perhitungan masa yang tidak dapat di sebut-sebut" (Al- Insan:1)

Zat Allah tidak menyerupai apa pun seperti yang dinyatakan didalam Al-Quran;

“Tiada sesuatupun yang menyerupainya daripada segi Zat, sifat dan pentadbirannya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar Lagi Maha Melihat” – (Al-Syura : 42)

Zat Allah tidak bergantung pada keadaan (tidak bertempat) seperti makhluk yang pasti ada bertempat.


" Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang Yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul." (Al Baqarah:186)

" Dan Demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa Yang dibisikkan oleh hatinya; Kami lebih hampir kepada dua urat lehernya iaitu urat leher manusia " (Al-Qaf :16)


Berserahlah pada Allah kerana hanya Allah sahaja yang memahaminya, manusia tidak akan tercapai untuk memahami hakikat DiriNya

b. Qidam – Sedia ada, tidak ada awal dan tidak ada akhir

c. Baqa' – Kekal untuk selamanya. Wajib kekal tiada akhir.

d. Mukhalafatuhu Taala Lilhawadis – Bersalahan Allah dari sekalian Makhluk. Bersalahan pada Zat, Sifat dan afal. Bersalahan pada zat bermaksud dia sajalah yang kaya dari segalanya. Bersalahan pada sifat bermaksud berkehendak segala makhluk kepadanya dan bersalahan pada afal Allah bermaksud tiada yang dapat memperlakukan sesuatu seperti perlakuan Allah.

e. Qiyamuhu binafsih – Berdiri dengan sendiri pada zat, sifat dan afal - tidak berkehendak berhajat kepada satu sama lain. Berdiri dengan sendiri pada zat tidak berkehendak pada sifat dan afal. Berdiri sendiri pada afal tidak berkehendak pada zat dan sifat dan berdiri dengan sendiri sifat tidak berkehendak pada zat dan afaal kerana lihat pada Wujud, Qidam dan Baqa. Sekiranya Allah itu berdiri kerana sesuatu bermakna Allah itu ada awal dan akhir kerana setiap benda yang ada awal tidak kaya. Dan benda yang ada akhir akan binasa maka terbatallah Wujud, Qidam dan Baqa.
Kalau begitu adakah Allah menjadikan dirinya sendiri? Tidak, kerana kiranya Allah menjadikan dirinya sendiri bermakna dia perlu ujud dahulu kemudian menjadikan. Mustahil, kerana ini bermaksud Allah ada awal dan berhajat pada yang lain.

Sifat Jalal ini menunjukkan adanya Tuhan dan adanya hujah-hujah sifat yang membezakan di antara Tuhan dan makhlukNya, ia di kenali juga sebagai sifat ke Agungan Tuhan,

2. Sifat Jamal
Sifat Jamal adalah menunjukkan sifat ke Elokkan atau sifat ke indahan Tuhan yang mengandungi sifat iaitu

a. Sama’a - Mendengar. Mendengar Allah tidak dengan telinga. Tidak dengan anggota. Tidak tertakluk pada jauh dekat, terbuka atau terhalang, tidak dari mana-mana arah kerana mendengar Allah itu dengan nyata keseluruhannya.

Ketika solat, peganglah 3 sifat ini iaitu sama’a (Allah mendengar kita), Bashar(Allah melihat gerak geri kita) dan Ilmu (Allah tahu niat kita) dengarkan zikrullah didalam hati kita supaya tiada bisikan iblis mengganggu.

Selalulah kita beristighfar kepada Allah kerana hati kita selalu lalai dengan duniawi sehingga kita terlupa untuk menyebut namanya. Hati kita selalu berangan-angan, memandang rendah dengan ciptaannya, berdengki, berniat melakukan sesuatu tidak ikhlas dan lain-lain sedangkan Allah mendengar dan akan disoal mengenainya.

b. Bashar – Melihat. Melihat Allah tidak dengan mata. Tidak dengan anggota. Tidak tertakluk pada cahay terang dan gelap, jauh dan dekat, luar dan dalam, atas dan bawah, atau dari mana-mana arah kerana melihat Allah itu nyata jelas keseluruhannya.

Melihat Allah itu tidak ada batasannya. Tidak berkelip. Allah melihat semua makhluknya tidak dengan benci dan kasih, tidak juga dengan sebab buruk atau baik, tidak dengan puas atau jemu. Maka takutlah kita kepada Allah kerana dia sentiasa sedang memerhati kita setiap saat apa yang hendak kita jawab dengan apa yang kita lakukan selama ini. Malulah dengan Allah kerana kita selalu lalai kepadanya sedangkan kita dijadikan hamba untuk tunduk beribadah kepadanya setiap detik.

c. Kalam – Berkata-kata. Berkata-kata Allah tidak dengan Mulut, Tidak dengan Anggota. Tidak tertakluk pada huruf, suara, tidak berbilang, tidak dahulu dan tidak kemudian, tidak berbisik, tidak menjerit.

Sebelum kita mendirikan solat angkatlah tangan kepada Allah bersyukurlah kita dengan qudratnya kita diberi daya untuk mendirikan solat. Dengan sifat kalamnya kita diajar untuk melakukan satu-satu ibadah yang amat indah. Ibadah yang membawa kita tunduk menunjukkan kita hamba kepadanya. Itulah saat yang amat manis yang dikurnikan Allah kepada umat islam semasa kita hidup yang tidak ada dalam agama lain. Dan saat ini juga yang akan dikenang nanti ketika jasad kita tidak lagi mampu bergerak lagi.

d. Sami`un – Yang sentiasa mendengar

e. Mutakallimun - Yang berkeadaan berkata kata

Sifat ini menunjukkan Dia memilikki sifat mendengar,melihat dan berkata-kata dan lazim kepada sifat tersebut pula yang bertaraf AsmakNya yang membawa kepada maksud Yang Maha Mendengar, Yang maha Melihat dan Yang maha Berkata-kata, sifat ini menunjukkan ujudnya peraturanNya yang di berikanNya kepada manusia.

Iftiqar
Iftiqar yang membawa maksud berkehendakkan sekalian yang baharu kepadaNya, istilah ini menunjukkan semua makhluk ciptaanNya wajib mengadu dan memohon kepadaNya sahaja, ini menunjukkan ujud makhluk pada istilah ini, yang kemudiannya di kenali sebagai sifat

1. QAHAR yang terdiri dari sifat

a. Qudrat – Berkuasa. Berkuasa Allah menjadikan yang tiada kepada ada. Yang lemah kepada berdaya. Yang mati kepada hidup. Yang berhenti kepada bergerak. Tidak pula berhad, takat, ketika, musim atau tertakluk pada apa-apa sekalipun. Tiada berkurangan tidak ada tentangan dan sekatan.

Janganlah kita merasa lemah, dhaif, kekurangan sehingga tidak lalu makan, beribadat, ingatlah Allah sentiasa bersama dengan kita dengan tiada benda yang mampu menjadi sempadannya.
“Dia beserta dengan kamu di mana juga kamu berada” (Al-Hadid:4)

b. Iradat – Berkehendak Setiap sesuatu yang allah jadikan alah dengan kehendaknya. Tidak Allah jadikan dengan secara tak sengaja, tidak juga dengan tabiat kebiasaan, tidak juga untuk mengambil faedah kerana Allah lah yang menentukan setiap sesuatu yang diciptakannya sama ada lelaki & perempuan, panjang & pendek, tinggi & rendah, hina & mulia, hidup & mati, kebaikan & keburukan dan seterusnya.

Setiap makhluk tidak akan terjadi dengan sendirinya melainkan atas kehendak Allah. Begitu juga takdir sesuatu yang terjadi diatas kehendak Allah. Hidup dan mati seseorang pun bukan disebabkan selain Allah kerana hanya Allah lah yang berkehendak sesuatu itu berlaku.

Manusia perlulah berikhtiar dalam melakukan apa-apa pekerjaan dan berserahlah pada Allah untuk menentukannya.

c. Ilmu – Mengetahui Dialah yang maha mengatahui yang nyata atau yang tersembunyi. Tidak ada rahsi dalam ilmu allah kerana semuanya bagi allah itu nyata. Kita berkata didalam hati atau kita berkata pada lidah sama sahaja bagi Allah. Kedua-duanya jelas. Ilmu allah tidak kerana belajar, Allah mengatahui setiap satu yang terjadi pada makhluk di langit dan dibumi. Ilmu Allah tidak dibatas masa mengetahui setiap perkara dari sebelum terjadi, ketika terjadi dan selepas terjadi.
Apa sahaja ilmu yang adalah pancaran dari ilmu Allah. Allah berhak memberikan ilmu kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya dengan berbagai-bagai cara yang diinginkannya sesungguhnya dia yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

d. Hayat – Hidupnya Allah tidak bermula, tiada dengan roh, tiada dengan nyawa dan nafas, tidak pula dengan makan dan minum. Tidak dari tanah,air,api dan angin. Tidak hidup melalui tahun, bulan dan hari kerana Allah itu Qadim. Allahlah yang memberikan kehidupan kepada sekalian Makhluk dan dia juga yang mengambil semula apa yang dikehendakinya.


2. Dan ujud juga sifat Tuhan yang di namakan sifat KAMAL yang menunjukkan sifat Ketuhanan yang mengandungi

a. Qadirun – Yang Berkeadaan Berkuasa

b. Maridun – Yang Berkeadaan Berkehendak

c. Alimun - Yang Berkeadaan Mengetahui

d. Hayyun – Yang Berkeadaan Hidup

Disinilah para ulamak menjelaskan bahawa jika mahu mengenal Allah maka kajilah sifat Istaghna dan jika mahu mengenal diri maka kajilah sifat Iftiqar.

IFTIQAR
Ilmu IFTIQAR adalah untuk kita mengenal diri kita, ilmu ini tersangat luas kefahamannya sehingga ia melibatkan keilmuan sain jika kita huraikan dengan luas dan ia boleh di jadikan bahan untuk kajian ilmiah, istilah IFTIQAR ini telah di perkenalkan oleh ulama ilmu ketuhanan pada zaman dahulu untuk kita mengetahui tentang diri kita (mengenal diri) dan perhubungan diri kita dengan Tuhan

IFTIQAR bermaksud berkehendak sekalian makhluk kepada Tuhan, yang di maksudkan makhluk itu ialah apa juga yang hidup bernyawa atau tidak mempunyai fitrah nyawa kepada Tuhan, dan makhluk itu bermaksud alam yang baharu, ertinya apa juga yang di cipta oleh Tuhan termasuklah manusia, adapun alam itu ialah:

1. Alam Ulwi, iaitu alam yang tinggi seumpama Qalam, Kursyi, Arsy Lauh Mahfuz dan lain-lain alam yang belum lagi manusia mampu sampai dan menyelidikinya dan banyak lagi alam yang tidak di ketahui oleh manusia

2. Alam Sufli, iaitu alam peringkat bawah termasuklah planet bumi ini dan planet yang di bawak peraturan Al Quran, alam Sufli ini kita bahagikan kepada empat bahagian yang perlu kita kaji sebuleh mungkin yang termampu, alam itu ialah :

a. Alam Jamaat, iaitu alam (makhluk) yang membeku dan cair serta bole berkembang seperti benda cecair, batu, benda-benda padat, air, gas dan lain-lainnya

2. Alam Nami, iaitu alam (makhluk) yang berupa tumbuhan yang dapat berkembang biak seperti tumbuhan dan tanaman

3. Alam Haiwan, iaitu alam (makhluk) haiwan di darat dan lautan serta udara yang hidup bernafas dan bernafsu tapi tidak boleh berfikir

4. Alam insan, iaitu alam (makhluk) yang bernyawa dan bernafas serta berakal, boleh berikhtiar dan berfikir serta boleh bergerak

Semua alam-alam yang tersebut di atas berkehendakkan kepada Tuhan dan beribadat kepada Tuhan dengan cara yang telah di fitrahkan oleh Allah s.w.t kepada mereka, kita tidak akan membincangkan alam haiwan, Nami dan alam Jamaat dalam bab ilmu IFTIQAR ini secara menyeluruh akan tetapi kita akan mempelajari alam Insan secara menyeluruh supaya kita dapat mengenal diri kita dan perhubungannya dengan Tuhan

Perlu di ingat bahawa alam yang nyata ini terbahagi kepda dua bahagian pula iaitu alam yang nyata dan alam yang ghaib yang kedua-dua ini bersatu untuk alam ini hidup bermakna dan berfungsi, tanpa alam yang ghaib maka alam yang nyata tidak bermakna apa-apa, seumpama manusia yang mengandungi yang zahir dan yang batin

Telahah di tetapkan bahawa ilmu IFTIQAR itu mengandungi sejumlah 9 sifat, kesembilan sifat-sifat ini menunjukkan fungsi kehidupan manusia sehingga dapat melakukan pengabdian diri manusia kepada Allah s.w.t sifat-sifat itu ialah:

sifat IFTIQAR itu adalah sifat yang mengandungi sifat-sifat yang beserta di antara hamba dengan Tuhannya dengan maksud LAZIM MELAZIMI (bererti tidak bercerai akan tetapi tidak bersekutu) ertinya sifat IFTIQAR ini terbahagi kepada 2 bahagian dengan nama yang berlainan iaitu:

Sifat Qahar - sifat memaksa makhluk atau dikuasai Allah. Sifat inilah ujud pada Roh diri.
Sifat Ma`ani
1. Qudrat bermaksud berkuasa – Akan menjadi Roh, berkuasa.
2. Iradat bermaksud berkehendak – Akan menjadi nafsu pada diri.
3. Ilmu bermaksud mengetahui – Akan menjadi akal pada diri
4. Hayat bermaksud hidup – Akan menjadi nafas kehidupan.

Sifat Kamal - sifat kesempurnaan atau sempurna
SIfat Ma`anawiyah

5. Qadirun bermaksud Yang Maha Berkuasa
6. Maridun bermaksud Yang Maha Berkehendak
7. 'Alimun bermaksud Yang Maha Mengetahui
8. Hayyun bermaksud Yang Maha Hidup


Sifat Salbiyah
1. Wahdaniyah - bermaksud Ke Esaan Tuhan – Esa bagi Zat, Sifat dan afal yang tunggal. Bermakna Zat allah itu tidak berjirim atau berjisim ia tunggal. Esa pada Sifat Allah itu tunggal iaitu pada Qudrat, Iradat dan Ilmu. Yang berbilang-bilang itu takluk dia sahaja. Tiada makhluk yang bersifat seperti sifat Allah. Dan Esa afaal Allah itu tidak ada sekutu perbuatan Allah untuk selamanya. Perbuatan Allah sahaja yang mampu memberikan bekas.

Huraian Zat, Sifat, Afaal dan Asma` Allah

Erti ZAT
Zat adalah rahsia Allah. Bila kita sebut rahsia bermakna dighaibkan dari pengatahuan manusia. Tiada apa yang boleh mengambarkan , tiada isyarat yang dapat memperkenalkan Zat. Antara yang wajib kita percaya sifat bagi zat ialah sifat nafsiah iaitu Wujud. Zat tidak bernama, Allah ialah nama termulia bagi zat yang merangkumi semua 99 nama Allah, sifat, afal dan Rahsia. Bukan zat itu sendiri. Kerana zat itu sendiri rahsia. Sekiranya zat itu bernama, ia telah sama dengan makhluk. Padahal yang wajib kita ketahui sifat zat itu bersalahan dengan makhluk.

Setelah terzahirnya zat tadi baru kita Nampak rangkuman sifat, afal dan nama-nama Allah rangkuman inilah yang kita sebut Allah dan sifat kemuliannya ialah Qidam, Baqa', Mukhalafatuhu Ta'ala Lilhawadis,Qiyamuhu Binafsih dan Wahdaniyah. Ini ada lah sifat salbiyah terzahirnya bagi zat. Zat itu tetap Rahsia tiada pembayang, tiada kata-kata, tiada gambarajah yang mampu mensyaratkannya.

Kata setengah Ulama :

Ertinya: " Tiap-tiap barang yang tersangka-sangka ia dengan segala sangka kamu itu dan kamu dapat akan dia dengan segala akal kamu itu, maka ia itu baharu jua seperti kamu."

Setiap apa yang boleh kita samakan dengan zat itu bermakna itu bukan. Kerana tidak tercapai oleh akal untuk kita mentafsirkan apa itu zat. afal itu apabila terzahirnya kuasa Allah. Sifat itu adalah sifat yang wajib kita tahu bagi zat. Bukan sifatnya zat. Tidak ada apa yang dalam kepala manusia tercapai untuk menentukannya.

Firman Allah Surah Al Hadid: 3, Ertinya :

Dia lah Yang Awal dan Yang Akhir; dan Yang Zahir serta Yang Batin; dan Dia lah Yang Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.( Al Hadid: 3)

Allah menyatakan kepada kita antara sifat yang wajib kita percaya bagi zat iaitu Dialah yang Awal dan dialah yang Akhir. Awal disini tidak bermaksud awal itu dari tiada kepada ada, dan akhir itu bukannya bermaksud dari ada kepada tiada. Tetapi maksudnya sifat bagi zat itu Qidam iaitu sedia ada. Macam mana sedia itu rahsianya.

Patut kita percaya Zat juga bersifat tidak bertempat kalau kita boleh menetapkannya di satu tempat, maka itu bukanlah dinamakan Zat. Sepert yang dinyatakan “Dialah bersemayam diatas Arsy” bukanlah bererti Dia duduk, ditakluki satu tempat atau kawasan iaitu Arsy tetapi bermaksud Dialah Allah yang berkuasa dari tempat yang amat tinggi kedudukannya. Atau kekuasaan Allah itu maha Tinggi malah tercapai hingga lebih atas dari Arsynya. Sama seperti Kaabah, bukanlah rumah itu bererti tempat tinggal, atau dia ujud didalamnya tetapi menunjukkan dia ujud diatas kekuasaannya dan dia itu tunggal supaya manusia mengarah kepada satu tempat tuju iaitu kiblat. Zat Allah adalah miliknya yang mutlaq dan tersendiri.


Tauhid pada zat
Firman Allah: Surah Al Fatihah: 4-5;

“Ertinya: Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.”(Al- Fatihah : 4-5)

Maksudnya Pergantungan yang mutlaq bahawa Zat Allah lah yang memerintah alam ini dan Dialah Tuhan Semesta alam dan tidak pula kita syirik kepada Nya.



Erti SIFAT
Sifat ini ujud apabila berlaku bagi penzahiran zat Allah dengan kuasanya. Sifat disini bukan beerti sifat zat, tetapi sifat yang wajib diketahui setelah terzahirnya Zat Allah. Apa saja yang wujud atau terjadi dalam dunia ini adalah menunjukkan perlakuan sifat Allah. Semua yang wujud diatas dunia ini asalnya dari penzahiran zat Allah. Terjadinya sesuatu kejadian itu adalah diatas kehendak dan keredhaan Allah. Tidak ada satu kejadian itu bukan diatas kehendak dan kemahuanNya.

Firman Allah : Surah Al Baqarah Ertinya:

“Dimana saja kamu berhadapan, disitu kamu lihat wajah Allah” (Al Baqarah:115)

Wajah bukanlah bererti rupa bentuk, tetapi bermaksud terbekasnya, atau terpancarnya, atau pembalikan gambaran seperti cermin yang membalikkan bayang-bayang. Apa yang dilihat didalam cermin itu hanyalah hayalan atau tidak ujud secara zahirnya tetapi yang asal (Yang didepan cermin) itulah yang ujud sebenarnya.

Adapun tauhid pada sifat bergantung sepenuhnya kepada Allah dan tidak berhak ke atas sesuatu kecuali dengan izinNya.


a.Laa haiyun – tidak hidup aku, hanya Allah yang hidup
b.Laa alim – tidak mengetahui aku, hanya Allah yang mengetahui
c.Laa samik’ – tidak mendengar aku, hanya Allah mendengar
d.Laa basir – tidak melihat aku, hanya Allah yang melihat
e.Laa qadim – tidak berkuasa aku, hanya Allah yang berkuasa
f.Laa muriid – tidak berkehendak aku, hanya Allah berkehendak
g.Laa mutakallim – tidak berkata-kata aku, hanya Allah berkata-kata
h.Bi haqi ilallah – dialah sebenar-benar yang haq bagi segala-galanya.


Erti ASMA’
Nama-nama bagi Allah. Nama Allah yang wajib diketahui ada 99. Apa-apa yang disebut diatas muka bumi ini dan mampu dilafazkan oleh lidah dan hati merupakan pembayang kepada nama-nama Allah. (Sama ada yang baik atau yang buruk) Setiap sesuatu itu terjadi dari nama Allah memandangkan bahawa setiap yang wujud itu adalah membawa nama Allah maka sebenarnya sentiasa berhubung kait dengan nama Allah. Asma’aulhusna iaitu 99 nama-nama Allah adalah juga nama sifatnya.

Erti Afa`al
Perbuatan atau perlakuan yang akan menunjukkan bekas. Tiada yang empunya perbuatan dalam alam ini hanya perbuatan Allah. Tiada perbuatan makhluk sebesar zarah jua dalam alam ini melainkan dengan Qudrat Allah. Terjadinya sesuatu yang berlaku diatas dunia ini adalah atas gerak-geri Allah. Tidak bergerak sesuatu itu kalau tidak diatas kehendaknya.

Firman Allah dalam surah Al Baqarah :

“Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan apabila Ia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Ia hanya berfirman kepadanya: "Jadilah engkau!" Lalu menjadilah ia. (Al Baqarah:117)

Adapun tauhid pada Afa`al iaitu kelakuan Allah dimana dengan menafikan kelakuan diri zahir atau makhluk lainnya dan dengan mengisbatkan semuanya kelakuan zat Allah semata-mata.

Perlakuan Allah ini bukanlah termaktub kepada yang indah, elok, cantik, kebaikan sahaja tetapi keburukan, bala, masaalah juga adalah perlakuan Allah.

Contoh kalau kita diberhentikan kerja. Ini adalah contoh keburukan yang menimpa. Jadi janganlah melenting, marah, tersinggung sebaliknya yang pertama kali patut kita sedar ialah itu adalah perlakuan Allah. Setiap sesuatu terjadi kerna hendaknya. Dan Allah bila dijadikan sesuatu bala bukan kerana hendak menyiksa hamba, tetapi bertujuan untuk menyedari. Mungkin kita telah lama lupa pada Allah, Jadi ditunjukkan pada kita isyarat supaya kembali ingat padanya.

“Tidak dijadikan manusia untuk selain untuk beribadat kepadaku”. Dalam hendak atau tidak, pasti akan merasa muram, sedih, dengan kejadian tadi dan kemudian barulah cari tikar sembahyang, sujud balik pada Allah dan tahap keimanan masa ditimpa musibah ini amat berlainan. Kita akan berasa kosong sahaja. Segala angan-angan hilang. Pada masa inilah kita patut ambil kesempatan kerana ketika hati kita kosong, nafsu pun tertutup yang ujud hanya satu, Allah. Disinilah terjadinya ketika hamba itu benar-benar mengesakan tuhannya.

3 Perkara yang perlu kita ingat apabila kita ditimpa musibah.
1. – Tauhidkan Sifat dan Afa`al Allah – Iaitu Tidak terjadi sesuatu itu perbuatan dan kehendak Allah.
2.- Tauhidkan Asma`a Allah Percaya sesungguhnya dialah sebaik pemimpin – Allah sentiasa beserta kemana jua kita berada. Ingatlah pada Allah.
3. Setiap keburukan pasti ada jalan keluar sebagaimana firmannya :

“Oleh itu maka tetapkan kepercayaan mu bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan” (Al-inshirah : 5-6)

Dua kali Allah ulangi didalam ayat diatas. Sedangkan sekiranya dinyatakan sekali pun wajib percaya. Tetapi ini menunjukkan Allah benar-benarlah yang akan keluarkan dari satu-satu musibah.

Begitulah dengan setiap apa jua kejadian yang berlaku disekeliling kita. Sentiasa esakan Zat, sifat asma dan Afa`al Allah setiap masa.


Saksilah pada yang banyak itu kepada yang satu.
Kita melihat dan meyakini semua kelakuan dan perbuatan diatas alam ini datang daripada yang satu (kesan perlakuan Allah dengan kehendaknya).

Saksilah pada yang satu itu kepada yang banyak.
Melihat dan meyakini perlakuan Allah Dialah yang menghasilkan atau menimbulkan perlakuan diatas alam maya ini.

Saksilah pada yang satu itu kepada yang satu.
Dialah yang nyata.

No comments:

Post a Comment