Saturday, January 10, 2009

Mukmin – Jalan Menuju Kesejahteraan


HTML clipboardPesanan sesama islam

9 Muharram 1430 / 06 January 2009

Tahukah kamu apa itu Makhluk Allah?

Makhluk Allah adalah segala ciptaanNya dari sekecil zarah sehinggalah seluas-luas alam semesta. Ada makhluk yang dijadikan Allah dan ada makhluk yang tercipta dari ilmu Allah yang dikurniakan kepada akal manusia seperti banggunan, kenderaan, alat-alatan dan sebagainya. Kerana Allah befirman;

"Padahal Allahlah yang menjadikan kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu"(As-Saaffaat : 96)

Makhluk yang telah sedia dijadikan Allah pula seperti seperti batu, kayu, pokok, tumbuh-tumbuhan, haiwan, manusia, bumi, lautan dan yang tidak dapat dilihat termasuk roh, malaikat, jin, iblis dan syaitan dan kesemuanya yang ada dialam ini.

Tahukah kamu apa itu Haiwan?

Haiwan ialah makhluk Allah yang paling hampir kejadiannya dengan manusia. Haiwan dapat bergerak bebas tidak seperti tumbuh-tumbuhan. Haiwan hidup didarat, didalam air dan diudara. Seperti Manusia juga yang menduduki daratan, mampu belayar diatas air dan terbang diudara.

Haiwan mempunyai nafsu dan roh sama seperti manusia. Bezanya cuma manusia dikurniakan akal fikiran jadilah manusia sebagai haiwan yang bijak pandai.

Haiwan dijadikan oleh Allah untuk bertasbih kepadanya dengan caranya tersindiri sebagaimana juga dijadikan manusia untuk beribadah kepada Allah.

Tahukah kamu apa itu Manusia?

Manusia adalah makhluk yang bertuah kerana diciptakan secantik kejadian. Lengkap dengan pancaindera dan akal fikiran yang membantu manusia untuk maju didalam kehidupan jauh lebih baik dari haiwan.

Manusia juga diciptakan Allah untuk menjadi khalifah dimuka bumi. Tetapi mengapa ada manusia yang suka melakukan kejahatan, merompak, mencuri, menipu, membunuh sesama manusia merosakkan alam malah perangai yang lebih buruk dari haiwan? Kerana manusia ini tanpa menjalankan amanah Allah, adalah sama tarafnya dengan haiwan. Dari segi jasadnya sahaja dia manusia, tetapi akhlak, perangai, perlakuannya sama seperti haiwan malah ada yang lebih buruk dari haiwan.

Manusia yang bagaimanakah yang disebut oleh Allah yang hendak dijadikan khalifah diatas muka bumi ini? Pastinya manusia yang mempunyai kualiti yang tinggi, seorang insan, yang bersih suci hatinya dan sentiasa tunduk merendah diri kerana kenal dengan penciptanya.

"Bacalah Dengan nama Tuhanmu Yang menciptakan, Ia menciptakan manusia dari segumpal darah, (Al-Alaq: 1-2)

Dinyatakan bahawa surah Al-Alaq adalah surah pertama yang diajarkan kepada Rasullullah. Ketika turunnya Jibrail kepada rasullullah untuk mengajar surah tersebut, rasullullah tidak tahu membaca atau menulis. Didalam surah tersebut disuruh sebutlah, ingatlah nama tuhanmu yang maha menjadikan iaitu Allah. Dia menjadikan Insan dari segumpal darah. Dimaksudkan dengan segumpal darah itu bukanlah janin didalam perut tetapi adalah kalbu insan kerana manusia dijadikan dari tanah atau air mani bukan segumpal darah. Apabila bersih kalbu itu, jadilah dia manusia. Sekiranya tidak, maka tidaklah dia layak dianggap manusia atau khalifah.

Maka sebutlah atau ingatlah nama tuhanmu (Allah) didalam kalbumu kerana itulah tempat didunia ini yang dicipta khas oleh Allah dapat menerima cinta Allah supaya kamu menjadi manusia. Jadi itulah yang dimaksudkan didalam surah yang pertama tersebut.

Didalam surah pertama lagi Allah telah nyatakan kualiti seorang hamba itu letaknya di kalbunya. Dikuatkan didalam hadis rasulullah "Didalam jasad anak adam ada seketul daging. Jika ia baik nescaya baiklah seluruh anggotanya. Bila ia jahat nescaya jahatlah seluruh anggotanya. Ketahuilah itulah kalbu(hati)".

"Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui kalam" (Al-Alaq: 3-4)

Sesungguhnya Allah itu pemurah dengan ilmunya. Yang menunjuk dan mengajar manusia dan segala makhluk yang ada. Dan Allah yang mengajar manusia dengan kalam dan mengajar apa yang tidak diketahuinya dari perkara yang zahir atau yang ghaib. Manusia pada dasarnya tidak punyai ilmu pengetahuan melainkan apa yang diizinkan Allah. Tiada ilmu yang berasal dari manusia. Segala ilmu adalah hak Allah. Apabila kalbu sudah bersih, atau manusia itu sudah menjadi insan atau khalifah, Allah janjikan akan ditunjukkan ilmu dengan kalamnya. Kalam bukanlah bermaksud pena dan tulisan sahaja. Tetapi kalam Allah itu terdiri dari berbagai cara dan keadaan. Penglihatan, pendengaran, tulisan, kejadian, yang akan menjadi petunjuk kepada manusia.

"Dia mengajarkan manusia apa Yang tidak diketahuinya." (Al-Alaq: 1-5)

Dialah sebaik-baik guru yang mengajar. Allahlah yang sebenar-benarnya mempunyai ilmu dan sebaik-baik yang mengajar. Dia juga memberikan hidayah supaya manusia dapat beriman kepadanya. Tanpa hidayah Allah, manusia sekadar mempelajari ilmu tanpa dapat beramal dengan ikhlas kepadanya.

Jadi manusia yang kalbunya bersih atau insan inilah yang dapat memegang amanah Allah dengan sebaik-baiknya. Maka diingatkan, selepas diri kita islam jadikan pula diri kita manusia sebelum dapat melakukan amal ibadah sebagai orang beriman. Iaitu amal ibadah yang diterima Allah dan mendapat balasan baik yang Allah janjikan.

Tahukah kamu apa itu Islam?

Islam adalah satu cara kehidupan atau undang-undang yang diturunkan Allah kepada rasulnya untuk diguna pakai oleh sekalian alam. Islam menitik beratkan soal tauhid kepada Allah, kebersihan, keadilan. Islam memberi petunjuk dan iman pula menjadi pegangan atau amanah Allah. Kalimah islam ialah kalimah tauhid iaitu Lailahaillalah. Secara amnya, segala makhluk yang dijadikan Allah adalah islam kerana mereka bertasbih kepada Allah dan islam sahaja adalah agama yang diiktiraf Allah. Kalimah iman pula ialah Muhammadar Rasulullah. Kerana iman itu ialah, mencintai Allah dan Rasullullah. Dengan mencintai Allah sahaja, jadilah kita umat islam semata-mata sama seperti lain-lain makhluk seperti haiwan, benda-benda hidup dan mati yang lainnya.

Tahukah kamu apa itu Umat Islam?

Umat islam ialah pengganut agama Allah yang mengaku tiada tuhan selain Allah dan mengaku Muhammad itu pesuruhnya dan mentaati solat, puasa zakat dan haji. Dengan pengakuan sahaja tanpa diakui dengan hati didalam seluruh perbuatan, jadilah orang islam itu golongan kaum fasiq atau kaum munafik dan ada juga yang menjadi kaum musyrikin. Menjadi orang yang beragama islam sahaja, bukanlah tujuan kehidupan yang dituntut Al-Quran.

"Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya terhadap Allah dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka. Mereka pula apabila berdiri solat, mereka berdiri Dengan malas. Mereka bertujuan riak (memperlihatkan solat) kepada manusia, dan mereka pula tidak mengingati Allah (didalam solat) melainkan sedikit sekali."(An-Nisaa:142)

Orang-orang tidak beriman ini hanya dilihat beriman dari segi jasadnya sahaja. Mereka mendirikan solat, zakat, puasa dan sebagainya tetapi pada zahirnya sahaja. Sedangkan mereka tidka sedar perbuatan mereka ini menyebabkan mereka mensyirikkan Allah.

Fikirkanlah adakah kita sendiri lalai didalam solat, puasa dan lain-lain ibadah? Adakah kita melakukan dengan yang zahir sahaja? Mintalah pada allah agar kita dapat mengingati Allah setiap masa supaya kita dijauhkan dari golongan ini.


"Kalau kamu bertanya mereka: Siapakah menciptakan mereka, nescaya mereka menjawab Allah.Maka bagaimanakah mereka dapat dipalingkan daripada menyembah Allah yang sebenar (kepada menyembah yang lain) dan (Allah mengetahuinya) ucapan Muhammad s.a.w : 'Ya Tuhanku sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang tidak beriman.' Maka berpalinglah (hai Muhammad) daripada mereka dan katakanlah: Salam (selamat tinggal semuanya), kelak mereka akan mengetahui (nasib mereka yang buruk)." (al-Zukhruf 43: 87 – 89)

Umat islam yang tidak beriman jika dilihat didalam hatinya terjumpalah bermacam-macam makhluk atau hijab yang akan membuatkan hidupnya tidak tenteram. Padahal Allah ciptakan hati manusia itu hanya untuk mengingati Allah. Meraka berkeinginan kepada sesuatu selain cinta kepada Allah, mengikut kemahuan nafsu yang akan menjadi tuhan kepada orang ini tanpa disedarinya. Ibadah orang islam semata-mata ditolak oleh Allah sepertimana firmannya;


"Dan kami periksa semua amal perbuatan mereka, lalu kami jadikan debu yang berterbangan" (Al-Furqan:23)

Iaitu apabila melakukan ibadah dari segi zahirnya sahaja dan hatinya lalai dari mengingati Allah. Inilah amalan yang tidak ikhlas, melakukan amalan kerana selain Allah.

Nafsu golongan ini adalah nafsu lawamah. Nafsu yang tidak menyukai kejahatan tetapi tetap melakukan. Tidak terdaya melawan godaan walaupun setelah melakukan kesalahan segera menyesal. Golongan yang mempunyai nafsu ini tidak dijanjikan selamat oleh Allah. Kerana mereka lemah. Kelemahan ini adalah kerana sentiasa lalai terhadap Allah.

"Katakanlah, 'Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatir akan kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal adalah lebih kamu cintai daripada Allah, Rasul-Nya, dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.' Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik." (QS. At-Taubah: 24)

Kerana itu janganlah kita hairan sekiranya didunia sekarang ini, orang islam tidak lagi diberi perlindungan oleh Allah malah ditindas, dibunuh dengan kejam, diburu, ditimpa malapetaka kerana mereka ini mengaku tiada tuhan selain Allah hanya dimulut tidak dihati. Itulah balasan Allah seperti yang dijanjikan didalam surah At-Taubah diatas.

Tahukah kamu apa itu Dua Kalimah Syahadah?

Dua kalimah syahadah ialah rukun islam yang pertama. Ianya satu-satunya kalimah iman diletakkan didalam rukun islam. Kalimah ini amatlah beharga kerana disini letakkan iman seseorang itu.

Rukun Islam 5 perkara;

Mengucap dua kalimah syahadah. – Tidak diketahui amalannya, ada syarat sah batal dan rukun

Solat 5 waktu – Ada amalannya, ada syarat sah batal dan rukun

Puasa – Ada amalannya, ada syarat sah batal dan rukun

Zakat – Ada amalannya, ada syarat sah batal dan rukun

Haji – Ada amalannya, ada syarat sah batal dan rukun

Kalau dilihat dari rukun islam diatas, kesemua rukun islam ada punyai amalannya dan inilah yang kita belajar selama ini kecuali dua kalimah syahadah. Kenapa yang pertama atau yang utama itu amalannya tidak diketahui? Padahal ada amalannya didalam Al-Quran malah diulang-ulangi diingatkan berkali-kali supaya dengan amalan tersebut ujudnya perasaan cinta kepada Allah dan Rasulnya. Tanpa amalan syahadah, jadilah kita orang islam semata-mata bukanlah orang beriman. Bila disebut orang islam, termasuklah golongan mungkar iaitu orang musyrik, fasiq dan Munafiq dan yang diterima ibadahnya hanyalah orang yang beriman. Yang kita takutkan selama ini iaitu yang Allah ingatkan didalam alquran orang yang amalannya sama seperti orang beriman, tetapi amalannya dibalas neraka. Iaitu orang fasiq kerana beribadah tanpa dihatinya mengingati Allah (Tiada keikhlasan).

"Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, Dengan merendah diri serta Dengan perasaan takut, dan Dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah Engkau menjadi dari orang-orang Yang lalai. (al-A`raaf : 205)

Inilah amalan syahadah yang disebutkan didalam Al-Quran iaitu mengingati Allah (bukan lailahaillallah) didalam hati bukan dimulut setiap saat dari waktu pagi hingga petang dan diteruskan hingga ke pagi hari keesokannya iaitu selama 24 jam sehari agar kita tidak menjadi orang yang lalai. Itulah yang pernah diungkapkan oleh rasullullah "Mata ku tidur, tetapi hatiku jaga".

Sesuatu yang halus tetapi banyak itulah dapat menjadi dasar atau asas yang kukuh bagi satu-satu banggunan. Bagaimana kita hendak mendirikan tiang agama(Solat) tanpa suatu asas yang kukuh? Pastinya dengan sekelip mata sahaja tiang tersebut akan runtuh. Maka perbanyakkan mengingati Allah supaya amalan kita dapat ikhlas kepada Allah semata-mata.

Tahukah kamu apa itu Orang Beriman?

Orang beriman ialah orang islam yang berpegang teguh ajaran islam dan rukun iman. Orang beriman ialah orang meletakkan mencintai Allah dan Rasullullah sebagai tujuan utama kehidupan. Memandang setiap yang berlaku adalah dengan kehendak Allah serta mencontohi Rasullullah dalam semua perkara.

Hati orang yang beriman sentiasa menyebut nama Allah sebagaimana sepasang kekasih menyebut nama kekasihnya disetiap waktu. Hatinya sentiasa lekat zikirullah, Allah, Allah, Allah menjadikan hatinya sentiasa tenang mengingati Allah.

Zikrullah ini lah amanah Allah yang wajib dijaga setiap waktu. Dengan zikrullah bersihlah hati seseorang hamba seperti mana yang dikehendaki kita bersihkan anggota badan dan hati ketika berwuduk. Tubuh badan boleh diberus tetapi hati hanya boleh dicuci dengan mengingati Allah setiap masa. Tanpa zikrullah hati itu kotor atau najis. Najis tidak boleh dibawa masuk ke masjid apatah lagi hendak melakukan ibadah bersolat.

"Orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan zikrullah (mengingati Allah), ketahuilah dengan zikrullah itu hati menjadi tenang." (Al-rad :28)

Apabila hati menyebut Allah, Allah, Allah… jadilah diri kita manusia, bukan lagi sekadar haiwan yang bijak. Sebab haiwan zikirnya ialah kalimah tauhid iaitu "Lailahaillahllah" atau mengesakan penciptanya. Zikir manusia atau insan ialah Allah, allah, allah dihati (bukan dimulut).

Pegangan golongan ini adalah kitab, ulama-ulama, Al-Quran dan zikrullah. Golongan ini juga yang diterima Allah akan amal perbuatannya kerana setiap amal perbuatan diturutkan dengan mengingati Allah didalam hatinya. Terhindarlah dia dari menjadi orang yang lalai didalam ibadah.

Didalam kehidupan seharian mereka Nampak jalan yang benar dan jalan yang batil inilah hidayah Allah kepada orang yang sentiasa beringat kepadanya sepertimana didalam firmannya ;

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan syaitan, mereka ingat pada Allah, maka dengan itu mereka Nampak jalan yang benar"(Al-A`raaf:201)

Nafsu golongan ini ialah nafsu Mulhamah. Nafsunya telah diberi hidayah dan dipimpin oleh Allah kerana dia telah mula mendidik nafsunya sendiri. Namun nafsu ini adalah diatas pagar. Umpama telur dihujung tanduk. Masih belum teguh pendiriannya.

Wahai Orang-orang yang beriman! apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka teguhlah hati mu dan sebutlah dan ingatlah Allah sebanyak-banyaknya, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan). (Al-Anfaal : 45)

Diingatkan lagi supaya sentiasa tidak lupa menyebut nama Allah didalam apa jua keaadaan sehingga sekiranya ketika menghadapi musuh, dengan menyebut dan mengingati Allah, allah janjikan dengan kemenangan.

Namun menjadi orang yang beriman masih belum dijanjikan kesejahteraan kerana ada ketikanya batas iman golongan ini menjadi tipis dan mudah digoda oleh duniawi.

Tahukah kamu apa itu Orang Mukmin?

"Sesungguhnya berbahgialah orang-orang mukmin" (Al-Mukminun :1)

Orang mukmin ialah orang yang berbahgia dunia dan akhirat. Hatinya sudah tidak boleh dibelah bahagi terhadap cintanya kepada Allah dan Rasulnya. Hati yang telah musyahadah sebati ingatannya kepada Allah. Orang mukmin sentiasa merasakan apa yang terjadi adalah Qada dan Qadar Allah. Tidak mengharapkan balasan dan pahala didalam amal ibadah yang dilakukan. Hidayah Allah adalah kitab petunjuk yang sentiasa menjadi pegangan bukan lagi mahzab atau pendapat ulama yang berpecah belah. Kitab petunjuk ini atau disebut Al-Furqan akan membawa jiwanya kepada penciptanya dan kekal lah dia dalam cintanya yang abadi.

Nafsu golongan ini ialah nafsu Mutmainnah. Nafsu yang telah tidak mungkin goyah oleh godaan syaitan dan duniawi. Inilah golongan yang dijanjikan kesejahteraan dunia dan akhirat.

"Wahai nafsu (jiwa) yang tenang (suci). Kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dengan (hati) redha dan diredhai (Tuhan). Maka masuklah kamu dalam golongan hamba-hamba-Ku. Dan masuklah kamu ke dalam Syurga-Ku." (Al Fajr: 27-30)

Golongan inilah yang dijanjikan oleh Allah kebahagian kehidupan dari dunia hinggalah keakhirat. Golongan ini juga yang terselamat didalam mana-mana perang-perang dizaman rasullullah hingga lah peperangan zaman sekarang. Golongan yang sentiasa dilindungi Allah dan para malaikat seperti yang dijanjikan Al-Quran.

"dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang mukmin." (Al-Ruum :47)

Dilindungi tubuh badannya, dan jiwanya, dijauhkan siksa kubur, api neraka dan masuklah golongan ini kedalam syurga Allah melalui mana-mana pintu yang sukainya.

Tahukah kamu siapa Rasullullah?

Rasullullah adalah utusan yang diutuskan oleh Allah untuk menyampaikan sinar islam kepada keseluruh alam. Ini dinyatakan didalam Al-Quran yang bermaksud :

"Dan tiada lah kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam (semua makhluk pada semua zaman)" (Surah Al-Anbiyaa : 107)

Dari ayat diatas dinyatakan rasullullah itu bukan lah rasul untuk satu-satu kaum sepertimana rasul sebelumnya, tetapi diutuskan untuk menyampaikan bagi sekalian alam dari seawal wujud makhluk sehinggalah penghujungnya. Tidak tertakluk kepada zaman, kaum atau hanya menusia. Rasullullah dari segi jasadnya sama seperti manusia biasa, telah pun wafat dan makamnya terletak di madinah. Tetapi Nur Rasullullah sentiasa menerangi alam, menyampaikan risalah kepada semua makhluk sehingga hari ini. Dan dialah yang diutuskan untuk seluruh alam termasuklah semalam, hari ini esok dan seterusnya.

Bagaimana untuk berhubung dengan Nur tersebut? Jawapannya ialah dengan berzikirullullah didalam hati menyebut Allah, Allah, Allah. Inilah yang dinamakan tali Allah dan jangan kita putuskan tali tersebut.

"…Sungguh telah datang padamu dari Allah, nuur (cahaya) dan kitab yang jelas dan menjelaskan" – (Al-Maidah :15)

Dengan zikirullah jasad manusia(hati) berhubung dengan roh(jiwa). Dan roh yang dapat berhubungan dengan Nur Rasullullah dan nur inilah yang berhubung dengan zat Allah. Akal dan ilmu tidak akan dapat menyambungkan talian ini. Apabila manusia telah punyai talian ini, maka dapatlah jasad ini menerima hidayah Allah secara terus disampai kan oleh Nur Rasullullah kepada Rohani kita. Nur atau cahaya didalam surah Al-Maidah diatas itu ialah nur Rasullullah, kitab yang jelas ialah Al-Quran dan kitab yang menjelaskan ini lah disebut Al-Furqan atau hidayah Allah yang disampaikan kepada kita oleh Rasullullah S.A.W. melalui kalam Allah.

Hukum mengingati Allah setiap saat dihati adalah WAJIB. Hukum melupakan Allah walau satu saat adalah HARAM. Tanyalah diri kamu sendiri adakah kamu menghalalkan iblis mengotori hati mu walau sesaat?

Dengan zikrullah kita dijanjikan Allah terpelihara dari iblis dan segala kejahatan seperti mana disebut didalam ayat ini :

"Sesungguhnya hamba-hamba ku (yang beriman dengan ikhlas*) tiadalah engkau (iblis) mempunyai kuasa terhadap mereka. Cukuplah tuhanmu menjadi pelindung (al-Isra:65)

*Beriman dengan ikhlas – Mengingati Allah setiap saat. Bermaksud pekerjaan yang dilakukan dengan mengingati Allah setiap masa itulah ikhlas kerana Allah. Sesaat lupa pada Allah berkemungkinan ibadah itu kerana selainnya samada datangnya sifat riak, bangga, merasakan diri berdaya melakukan ibadah dan lainnya kerana setiap saat yang lupa itu, iblislah yang membisikkan arahannya.

Dijelaskan hamba allah yang beriman dengan ikhlas (mukmin) dilindungi dirinya, jiwanya dari godaan iblis. Maka wajiblah sebagai umat islam mengingati Allah dihati itu setiap saat. Kerana apabila lupa sahaja sesaat, maka iblis lah yang menjadi sembahan.



"Iaitu orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri, duduk dan semasa mereka berbaring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata : "Wahai tuhan kami! Tidaklah engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka" (Al-Imran:191)


Mengingati Allah setiap masa tidak kira apa jua keadaan, tidak ada alasan yang boleh diberikan untuk mengelak dari mengingati Allah didalam hati walaupun ketika berada didalam bilik air.

Kesimpulannya?

Sekiranya kita sayangkan diri ini, diri yang didalam tubuh ini, maka lakukanlah perubahan mulai saat ini. Sedarlah, bahawasanya tubuh kita ini adalah pinjaman. Pinjaman yang kita tidak pernah teringat apalagi bersyukur kepada penciptanya.

Perjalanan kita masih jauh. Tetapi tidak akan ada kejayaan tanpa ada langkah yang pertama. Sekiranya kita telah jauh tersimpang, percayalah untuk kembali kejalan yang benar ianya hanyalah satu langkah sahaja. Itulah kelebihan yang Allah janjikan kepada umat Muhammad S.A.W. pintu taubat sentiasa terbuka, mulakan langkah tersebut disaat ini.

Mulakanlah beribadahlah dengan sentiasa mengingati Allah supaya kita mendekatkan diri kepada golongan orang beriman. Bukannya susah, sebutlah Allah, allah, allah didalam hati ketika duduk, berdiri atau berbaring. Ketika bekerja, makan dan ibadah seperti solat, puasa dan lain-lain.

Dengan harapan apabila hati telah tidak dapat dipisahkan dengan zikurullah (Allah, Allah, Allah…) kita akan menjadi golongan yang musyahadah yang dijanjikan Allah kesejahteraan selama-lamanya dan akan dibuka pintu-pintu ilmu hidayah terus dari Allah yang disebut-sebut Al-Furqan itu. Kitab yang kalau dicari pasti tidak akan ditemui melainkan dengan izinNya.

"Sebaliknya orang yang mahu menerima petunjuk (ke jalan yang benar) allah tambah hidayah kepada mereka dan memberi dorongan kepada mereka untuk bertaqwa" (Muhammad : 17)

Itulah sebaik-baiknya diletakkan didalam hati iaitu dimulakan dengan sebutan dan akhirnya akan menjadi perasaan cinta yang abadi seperti yang dikehendaki ketika kita mula-mula mengucapkan syahadah.

"Wahai orang yang beriman, ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepadanya waktu pagi dan petang (Al-Ahzab:41-42)

Amalan zikrullah itulah yang dinamakan amalan syahadah dimana bukan sahaja mulat sahaja bersyahadah, tetapi diikuti dengan jiwa yang didalam. Maka sebab itulah diletakkan Dua Kalimah Syahadah itu rukun yang pertama yang selama ini hanya dilafazkan dimulut tanpa diamalkan didalam hati. Itulah kesilapan besar yang telah diringankan oleh umat islam hari ini.

Semoga kita semua diberi petunjuk dan hidayah oleh Allah dan Rasulnya amalkan lah mengingati Allah setiap masa mulai hari ini supaya kita nanti tidak buta di akhirat.

"Dan sesiapa yang berada didunia ini (dalam keadaan) buta mata hatinya, maka dia juga buta diakhirat dan lebih sesat lagi jalannya"(Al-Isra : 72)

Mengamal ilmu tauhid, yang kekal Allah yang lainnya binasa, mengamal ilmu Syahadah, yang kekal Allah yang mukmin sejahtera.

Marilah sama-sama kita, kaum keluarga, sahabat, semua muslimin, menjadikan diri kita manusia(Khalifah) atau insan. Semoga kita dilindungi Allah dunia(selamat dari malapetaka dan perang) dan akhirat(Alam barzakh dan Hari kiamat).

Akhir sekali pesan rasullullah kepada kita bagi mengetahui kedudukan diri kita disi Allah ialah;

"Barangsiapa ingin mengetahui kedudukannya disisi Allah hendaklah ia melihat didalam hatinya bagaimana keadaan Allah pada sisinya, kerana Allah mendudukan hambanya menurut ukuran sihamba itu mendudukkan Allah pada dirinya" (Maksud Hadis)

Lebih lama kita mengingati Allah didalam hati, maka lebihlah kita disisi Allah. Sekiranya dalam sehari kita cuma ingat pada Allah seminit-dua, maka sedarlah betapa jauh kita disisi Allah.

Dan perpesan-pesanlah sesama kita agar kita menjadi orang yang beruntung. Agar ummat islam hari ini terdiri dari orang-orang yang beriman dan mukmin bukan lagi orang musrykin, fasiq dan munafik yang lemah boleh di jual beli, diperangai, dirompak, disamun, dibunuh sewenangnya oleh kaum kafir.

"Demi masa sesungguhnya manusia itu didalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal saleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar"(Al-Ashr:1-3)

mukminblog.blogspot.com