Wednesday, December 17, 2008

6. Kesaksian dalam syahadah

Dua kalimah tersebut mestilah diakui serta digenggam erat seperti mana kita mengenggam tangan ketika bacaan syahadah pada tahyat didalam solat seharian. Sepertimana bayi yang baru lahir mengenggam erat kesepuluh jarinya sebaik dilahirkan. Digenggam erat dengan penuh keyakinan sehingga tidak ada apa yang dapat membeli hati kita. Tidak ada makhluk yang mampu memesongkan tauhid kita pada Allah. Tidak dengan apa yang ada didunia ini.

“Dan ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firman-Nya): "Bukankah Aku Tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), KAMI MENJADI SAKSI". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari Kiamat kelak:
"Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini". [al-A’raaf 7: 172]

Kesaksian ini telah terjadi seawal kita masih dialam roh didalam perut ibu semasa berumur 120 hari setelah ditiupkan roh kepada jasad. Itulah kesaksian yang perlu kita bawa dari kita dilahirkan sehingga kita dipisahkan dari alam dunia. Kesaksian ini juga yang akan disoal tibanya hari kiamat nanti.

Dengan kesaksian yang sebenar-benar ini kita pasti akan diuji Allah untuk menentukan sama ada kita menjadi orang beriman atau tidak. Allah tidak akan turunkan ujian melainkan apa yang termampu oleh hambanya.

Salah satu tujuan ujian yang Allah turunkan kepada kita ialah untuk mencuci hati. Mencuci hijab yang selama ini melekat didalam hati hambanya. yang mana sepatutnya hati itu tempat letaknya mengingati Allah. Ujian Allah biasanya terhadap satu perkara yang kita sayangi yang sudah sebati didalam hati kita.

Sebagai contoh kita bekerja disebuah syarikat yang telah lama bertapak. Pastinya syarikat itu kedudukannya kukuh, kita pun telah bekerja lama disitu dan telah pun ada punyai pangkat didalamnya. Maka kita berasa sungguh selesa dan selamat dengan kedudukan dan pekerjaan sehingga kita rasakan syarikat ini akan menjamin masa depan.

Sehingga pada satu masa, tiba-tiba saham syarikat tersebut jatuh menjunam. Syarikat tidak dapat menampung gaji para pekerja dan sebagai jalan selamat, syarikat mengambil keputusan untuk memberhentikan pekerja dan kita salah seorang diantara yang terpilih untuk diberhentikan.

Maka ketika itu, hati kita terasa amat sakit, terasa masa depan gelap, lemah anggota badan segala apa yang dilakukan serba tak kena. Ketika itu teringat dengan apa kita nak selesaikan bayaran bulanan kereta, rumah, anak bersekolah, bil api, telephone, insurance dan segalanya. Perasaan kecewa, marah, dendam menyesal menyelubungi jiwa tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

Pernahkah kita terfikir perkara ini? Alhamdullillah mungkin perkara sebegini belum terjadi kepada sebahagian kita. Tetapi kalau terjadi bagaimana? Kenapa ini terjadi?

Jawabnya kerana tempat Allah menilik hambanya ialah dihati dan tiba masanya kita diuji sedikit keimanan kita. Kesaksian syahadah kita tadi. Apabila kita merasakan masa depan terjamin dengan kerja yang kita ada sekarang bermakna tempat kita bergantung bukan lagi pada Allah tetapi pada syarikat tadi. Disebabkan Allah sayang pada hambanya, maka disedarkan kembali agar kembali ke jalan yang lurus iatu percaya ;

“ Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja Kami memohon pertolongan “(Al-Fatihah : 5)

Maka beratnya terasa hati, sakitnya terasa dihati apabila Allah merentap sesuatu yang telah lama terpahat dihati iaitu cintakan pekerjaan kita. Sedangkan cinta itu hanya untuk Allah.

Dan disinilah terpulang kepada kita untuk tunduk kembali pada Allah mensyukuri kepadanya kerana telah menyedarkan kita, redha dengan segala ketentuannya. Atau kita diberi pilihan untuk mengambil perkara ini sebagai sesuatu yang tidak adil dan menyebabkan jiwa kita memberontak ada yang sampai terkena penyakit jiwa.

Sekiranya kita redha, bermakna terpancarlah sedikit keimanan dihati tadi. Tunduk sujudlah diri kita kepada Allah sehingga mengalir air mata tanda penyerahan kita padanya. Tanda iman dan keyakinan telah terbit dihati dan itu lah sebaiknya kerana Allah telah befirman :

“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,(sekali lagi ditegaskan): Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan” (Al-Insyiraah : 5-6)
Berserahlah kepadanya pastinya akan dibantu kita dengan jalan keluar atau pekerjaan yang lebih baik lagi.

Begitulah, bukan senang untuk mendapat iman. Iman itu untuk mendapatkannya pasti dengan kesakitan, dengan hukuman, kekecewaan, sebab hijab itu telah melekat dihati. Tetapi beruntunglah orang yang didalam hatinya hanya ada Allah kerana, ketika sampai diwaktu nyawa hendak dicabut dari badan, hati yang melekat didalamnya perkara-perkara duniawilah yang paling sakit ketika merasai mati.

No comments:

Post a Comment