Wednesday, December 17, 2008

3. Rukun Islam Pertama

Sebelum diteruskan kepada amalan-amalan Syahadah, mari kita mendalami sedikit tentang dua kalimah tersebut.

Kenapa dinamakan dua kalimah syahadah? kerana terdapat dua kalimah didalamnya iaitu kalimah Tauhid dan Kalimah Rasul.


Kalimah Tauhid
Iaitu kalimah mengesakan Allah Taala. Kalimah tauhid juga disebut sebagai Tauhid Rububiah, Tauhid Uluhiah, Tauhid Nama dan Sifat Allah.

Didalam kalimah tauhid ini pula mengandungi 41 aqidatul iman iaitu 20 sifat wajib bagi Allah taala,20 sifat mustahil dan 1 sifat harus.Kalimah tauhid ini juga terbahagi kepada dua bahagian iaitu :


1. Nafi - menafikan segala sekutu bagi Allah iaitu pada kalimah 'Tiada Tuhan'
2. Isbat - dan mengisbatkan pada kalimah 'selain Allah' .

“Tiada sesuatupun yang menyerupainya daripada segi Zat, sifat dan pentadbirannya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar Lagi Maha Melihat” – (Al-Syura : 11)

“Tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah”. Tiada yang lain kekal ujud selain Allah (dimana yang lainnya binasa)” dan menafikan sesuatu yang bersifat tidak kekal selain dia yang satu mempunyai zat, sifat dan afal (perlakuan).

Tauhid Rubiah
Ialah Tauhid ketuhanan. - Bererti mempercayai bahawa di dunia ini ada Tuhan yang menciptakan alam yang sebegini luas dan dialah yang menjadikan semua makhluk di alam ini dan yang Maha Berkuasa keatas pentadbiran alam semester ini. Tauhid ini dipunyai oleh kebanyakan agama di dunia ini kerana setiap fitrah manusia mengakui wujudnya Tuhan yang menciptakan alam ini. Percaya dengan sepenuhnya bahawa Allah sahajalah tuhan yang menciptakan setiap yang ada dialam ini samada yang dapat dilihat atau pun yang tersembunyi (ghaib). Percaya dengan sepenuhnya bahawa Allah sahajalah Tuhan yang memberi, menerima, membinasakan, menyembuhkan malah melakukan apa sahaja yang ia kehendaki ke atas makhluknya,

Tauhid Uluhiah
Ialah tauhid keesaan Allah - Bermakna mempercayai bahawa Allah itu pada zatnya satu, Esa atau tunggal. Tidak dua tidak tiga. Dan ianya bersifat azali (zatnya), tiada permulaan dan tiada akhirnya, tiada bermula dan tiada nokhta baginya. Bermakna mempercayai bahawa Allah itu Esa dalam perbuatannya, tiada sekutu dalam pekerjaannya. Apabila ia kehendaki, hanya dengan berkata ‘kun faya kun’ jadi maka jadilah sesuatu itu. Ia tidak memerlukan bantuan dalam pekerjaannya. Ia Maha berkuasa dan segalanya dalam pentadbiran Allah Yang Maha Esa. Bermakna mempercayai Allah itu esa dari azali. Tidak beranak dan tidak
diperanakkan, tiada ibu bapa. Allah itu pada azalinya esa, satu dan tetap satu. Allah lah saja yang wajib disembah bukannya kepada yang lain.

Tauhid Nama dan Sifat Allah
Mempercayai bahawa tiada tuhan yang Maha pengasih, Pemurah, Kaya dan berkuasa
melainkan Allah. Mempercayai bahawa zat Allah itu mempunyai nama-nama serta sifat-sifat yang maha sempurna, amat elok dan terbaik. Mensifatkan Allah dengan segala kesempurnaan di dalam hati kita dan menangkis segala sifat kekurangan yang ada dalam bisikan hati kita.



Kalimah Rasul.
iaitu membenarkan kerasulan Nabi Muhammad saw.Didalam kalimah rasul ini pula mengandungi 9 aqidatul iman iaitu 4 sifat wajib bagi rasul,4 sifat mustahil dan 1 sifat harus.

Kalimah kedua ialah syahadah rasul iaitu penyaksian Muhammad itu kekasih Allah membawa nur yang menerangi alam dan pembawa risalah yang menjadi penghubung antara makhluk kepada Yang Maha Pencipta dan akhlaknya dijadikan contoh ikutan kepada semua insan.

Diantara Ayat Al-Quran membuktikan Rasullullah itu utusannya :

“…Sungguh telah datang padamu dari Allah, nuur (cahaya) dan kitab yang jelas dan menjelaskan” – (Al-Maidah :15)

“Wahai Nabi sesungguhnya Kami telah mengutusmu sebagai seorang Saksi, Seorang Pembawa khabar gembira, dan seorang Pemberi Peringatan, dan sebagai Seorang Penyeru (Da’i) kepada Allah dengan izin-Nya, dan sebagai suatu Lampu [nuur] yang menyebarkan Cahaya“. – (Al-Ahzab 33: 45-46)

Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (wahai Muhammad) Dan Kami telah meringankan daripadamu: bebanmu; Yang memberati tanggunganmu? Dan Kami telah MENINGGIKAN bagimu: sebutan namamu” [al-Insyiraah 94:1-4]

Maksud Meninggikan disini ialah, kedudukan nama Muhammad itu diletakkan didalam Kalimah Tauhid dan disebut-sebut oleh semua makhluk Allah.

Keseluruhan Aqidatul iman yang terkandung didalam dua kalimah syahadah itu ialah 50 yang wajib diketahui secara ijmali(Umum) dan sesetengah ulama menghukumkan juga wajib mengetahui secara tafsili(Mendalam).

1 comment:

  1. Assalaamu'alaikum. Harap author tolong dapat memperbaiki kekeliruan dalam artikel. Sila tukar 'Al-‘Aqlim yang Maha Mengatahui' kpd 'Al-'Aliim yang Maha Mengetahui'
    Dan 'Asy hadu anlaa ila ha illallah, Wa asy hadu anna Muhammadar Rasullullah' kepada 'Asy hadu allaa ilaa ha illallah, Wa asy hadu anna Muhammadar Rasullullah' dalam artikel '2. Dalil Dua kalimah syahadah itu yang pertama' dan mana-mana artikel berkaitan. Terima kasih

    ReplyDelete